Friday, November 30, 2012

Perbanyakkan Membaca Selawat Di hari Jumaat




.
Salah satu amalan utama di hari Jumaat adalah memperbanyak bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Berselawat atas Nabi SAW memiliki banyak keutamaan dan Pahala yang agung. Berikut ini sebahagian Hadits yang menjelaskannya.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya manusia itu menyaksikan Allah SWT telah mengharamkan kepada bumi untuk memakan jasad para Nabi ‘alaihim selawatu wa salam.” (HR. Ahmad no. 16162, Abu Daud no. 1047 dan 1531, An Nasai-tidak. 1374, Ibnu Majah no. 1085 dan 1636, Ad-Darimi, 1/369, Al-Hakim, 1/278, Ibnu Khuzaimah no. 1733 dan 1734, Ibnu Hibban no. 910 dan lain-lain. Didakwa shahih oleh Al-Hakim, ADZ-Dzahabi, An -Nawawi dan Al-Albani)


.عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ، أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا،


Dari Aus bin Abu Aus RA berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Seutama-utama hari tertentu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu pula Adam meninggal, pada hari itu sangkakala kehancuran dunia ditiup dan pada hari itu juga sangkalala Kebangkitan makhluk ditiup. Maka perbanyalah membaca selawat untukku pada hari itu, kerana sesungguhnya manusia itu menyaksikan bacaan selawat tentu akan ditunjukkan kepadaku. “
Para sahabat beranya lagi, “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami akan ditunjukkan kepada Tuan sementara jasad Tuan telah hancur?”


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ القِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلاَةً

Dari Abdullah bin Mas’ud RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya manusia yang paling hampir kedudukannya denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat untukku.” (HR. Tirmidzi no. 484. Ia berkata: Hadits hasan gharib)

Tinggalkan Berurus Niaga Ketika Azan Jumaat



Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad SAW diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’Ala.

Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa AS melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah.

Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad SAW, Allah SWT memberi kebebasan dan ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus yang dilarang oleh Allah SWT menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini.


Allah SWT berfirman:




“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah SWT dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah SWT, serta ingatlah akan Allah SWT banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).” (Surah Al-Jum’ah Ayat 9)
Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah SWT terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefardhuan Solat Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan.

Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut: “Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua.” (Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah SAW tetapi bezanya aktiviti jual beli itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar.

Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah.

Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.
Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: “Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lalu Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud: “Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau (wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.”
Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat. Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat Solat Zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.
Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah SWT.

Allah SWT memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang. Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :


Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang.
Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.


Ketiga: Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping mengambil peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah.


.


Sumber: http://www.masjidnegara.gov.my/

Dosa Jual Beli Hari Jumaat



اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ



Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9′ dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.


PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT


Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.
Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.
Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.



AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijma’[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.
Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]


Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-


المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم


Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)
Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.


Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :


اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني


Ertinya :
Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)


BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?
Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, beerti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.
Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.


Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.



KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:


a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.


Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.



Sekian,


Ust Zaharuddin ABd Rahman

Ganjaran Hadir Awal Solat Jumaat


Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya manusia akan duduk di sisi Allah pada hari kiamat mengikut qadar (cepat dan lambatnya mereka) pergi menghadiri Jumaat.” (Riwayat Abdullah bin Masud)

.

Catatan Kehadiran:

Ganjaran datang awal waktu ke masjid bagi Solat Jumaat;

Imam Syafie, juga beberapa ulama lain berpendapat, sunat pergi ke masjid sejak daripada waktu terbit fajar lagi. Imam Malik pula berpendapat bahawa waktunya ialah sekira-kira sejam sebelum matahari tergelincir.

Rasulullah SAW bersabda:
 “Ketika datangnya Jumaat, Allah mengutus malaikatnya turun ke bumi membawa kalam daripada emas dan kertas daripada perak, untuk mencatat nama siapa yang masuk ke masjid. Selesai mengerjakan solat Jumaat, malaikat itu kembali ke langit, lalu melaporkannya kepada Allah:“Wahai Tuhan kami, kami sudah mencatat siapa yang masuk masjid dan bersolat Jumaat.” Lalu Allah Taala menjawab: “Wahai malaikat-Ku, demi Kemuliaan-Ku dan demi Kebesaran-Ku, sesungguhnya sudah Aku ampuni segala dosa mereka.” (Raunaqul-Majalis)

Dinyatakan dalam sebuah hadis, bahawa para malaikat mencari orang yang terkemudian daripada waktunya pada hari Jumaat. Mereka bertanya sesama sendiri, “Apakah yang dikerjakan oleh orang yang berkenaan. Apakah yang menyebabkan orang yang berkenaan terlambat datang?” Maka berdoalah para malaikat; “Ya, Allah, ya Tuhanku! Sekiranya orang itu terkemudian kerana miskin, maka kayakanlah dia, kalau kerana sakit, maka sembuhkanlah dia, kalau kerana sibuk, maka berikan kelapangan waktu untuk beribadat. Kalau kerana bermain-main, maka hadapkanlah hatinya untuk mentaati-Mu.”

Baginda SAW telah meletakkan garis panduan yang harus diikuti bagi menghadiri Solat Jumaat. Diantaranya adalah membersih, mengemas dan merapikan diri dengan sebaik-baiknya mandi dan menyucikan diri agar jemaah lain tidak terganggu oleh bau badan atau pakaian yang tidak menyenangkan. Hal ini untuk memastikan ibadat Jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya.

Datanglah awal ke masjid dengan penuh ketenangan, tidak tergopoh-gapah bagi mendapatkan saf yang paling depan, berzikir, membaca al-Quran serta berpeluang mendengar khutbah dengan jelas.

Hari Jumaat ~ Waktu Mustajab Berdoa


.


Sebaik-baik hari bagi umat Islam adalah hari Jumaat yang dikenali sebagai ‘Sayyidul Ayyaam’ (Penghulu Hari) yang paling utama dan paling mulia di sisi Allah Ta’ala.


Di dalamnya juga terdapat satu waktu yang mustajab untuk berdoa. Tidaklah seorang hamba yang beriman memunajatkan doa kepada Tuhannya pada waktu itu, kecuali Allah SWT akan mengabulkannya selagi dia tidak meminta yang haram. Oleh itu seorang muslim sepatutnya lebih perihatin akan keberkatan hari Jumaat ini.



Rasulullahصلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Daripada Abu Hurairah, Rasulullahصلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari Jumaat ada satu ketika yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang solat, di mana apabila dia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.”

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah radliyallah ‘anhu, dia bercerita: “Abu Qasim (Rasululah)صلى الله عليه وسلم bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ لَسَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ



“Sesungguhnya pada hari Jumaat itu terdapat satu ketika yang tidaklah seorang hamba muslim berdoa memohon kebaikan kepada Allah bertepatan pada masa itu, melainkan Dia akan mengabulkannya.” Lalu beliau mengisyaratkan dengan tangannya, yang kami fahami, untuk menunjukkan masanya yang tidak lama (sangat singkat).” (Muttafaq Alaih)
Dalam memahami mengenai penentuan waktu mustajab (makbulnya doa), para ulama berbeza pendapat, bila masa dan ketikanya ia berlaku? Ilmu tentang ketepatannya, telah ditarik ilmunya oleh Allah SWT seperti juga ilmu bagi memastikan waktu Lailatul Qadar.

Diriwayatkan, oleh Sa’id bin al-Haris, dari Abu Salamah, katanya; “Sesungguhnya Abu Hurairah menyampaikan kepada kami perilah satu waktu yang ada di hari Jumaat. ‘Beliau berkata, ‘Aku pernah bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم; lalu Baginda menjawab,


“Sungguh aku dulu diberitahu tentangnya kemudian aku dijadikan lupa sebagaimana dijadikan lupa terhadap Lailatul Qadar.”
(HR. Imam Ahmad)

Pendapat Para Ulama


Ibnul Hajar dalam Fath al-Baari, menyebutkan ada 43 pendapat di antara para ulama mengenai suatu waktu yang terdapat pada hari Jumaat itu.


Beliau berkata, “Tidak diragukan lagi bahawa pendapat yang paling rajih (kuat) adalah hadis Abu Musa dan hadis Abdullah bin Salam… Namun para ulama salaf masih berbeza pendapat manakah dari keduanya yang lebih rajih.”


.
Seterusnya Ibnul Hajar menjelaskan, majoriti ulama seperti Imam Ahmad dan lain-lain, mentarjih bahawa waktu tersebut terdapat pada waktu akhir hari Jumaat.


Di akhir ucapannya, Ibnul Hajar cenderung kepada pendapat Ibnul Qayim, iaitu pengabulan doa itu diharapkan juga pada ketika melakukan solat. Sehingga kedua waktu tersebut merupakan waktu ijabah (pengabulan) doa, meskipun saat yang khusus itu ada di hujung hari selepas solat solat Asar.

Pendapat Yang Paling Rajih (Kuat)


Di antara pendapat-pendapat tersebut ada 3 pendapat yang paling ‘rajih’ (kuat) :~

a. Waktu Dari Imam Mulai Duduk Sehingga Selesai Solat Jumaat
Waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga selesai solat didirikan.


Dari Abu Burdah bin Abu Musa Al-Asyari Radhiyallahu Anhu, dia bercerita bahawa Abdullah bin Umar Radhiyallahu Anhu berkata padanya, “Adakah engkau telah mendengar ayahmu menyampaikan hadis dari Rasulullah mengenai waktu mustajab pada hari Jumaat?” Lalu Abu Burdah menjawab, “Ya! Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلمbersabda,


هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ



“Waktu itu berlaku di antara duduknya imam sampai selesainya solat.”


(HR. Muslim)
Imam Nawawi rahimahullah menguatkan pendapat di atas. Namun, waktu istijabah ini tidak penuh sejak duduknya imam di mimbar sampai selesainya solat. Dia datangnya kadang-kadang mengikut lafaz hadis, “Yuqalliluhaa” (sangat sekejap).

Imam ash Shan’ani rahimahullah dalam Subul as Salam, menyebutkan masanya kadang-kala diawal, di tengah atau di akhir. Ketikanya bermula sejak bermulanya khutbah sehingga habis selesainya solat. (Subul as Salam)

Manakala Imam As-Suyuthi rahimahullah pula menentukan waktu yang dimaksudkan adalahketika solat didirikan.


b.) Waktu Di Antara Dua Khutbah Jumaat



Sesetengah ulama berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.


Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullahصلى الله عليه وسلم sedang menerangkan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda:


إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ لَسَاعَةً لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ قَائِمٌ يُصَلِّيْ يَسْأَلُ اللهَ خَيْراً إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، قَالَ: وَهِيَ سَاعَةٌ خَفِيْفَةٌ



“Sesungguhnya padanya (hari Jumaat) terdapat suatu ketika yang tidak ditemui oleh seseorang yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan.”


(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim).


Dan Rasulullahصلى الله عليه وسلم menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja (sangat singkat) waktu itu.


c.) Waktu Terakhir Selepas Asar


Dari Jabir bin Abdillah Radhiyallahu Anhu, Rasulullahصلى الله عليه وسلم bersabda;


يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً لاَ يُوْجَدُ فِيْهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ شَيْئاً إِلاَّ آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوْهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ.



“Hari Jumaat (Siang) terdiri dari 12 waktu, di dalamnya terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang muslim pada ketika itu memohon sesuatu kepada Allah, melainkan Dia akan mengabulkan permintaannya. Oleh kerana itu, carilah masa tersebut pada waktu akhir setelah Asar.”
(HR. An-Nasai dan Abu Daud).
Hadits Abdullah bin Salam, dia bercerita: “Aku berkata;


“Sesungguhnya kami mendapatkan di dalam Kitabullah bahawa pada hari Jumaat terdapat satu masa yang tidaklah seorang hamba mukmin berada padanya lalu berdoa memohon sesuatu kepada Allah SWT, melainkan akan dipenuhi permintaannya.”


Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengisyaratkan dengan tangannya bahawa masa itu hanya sedikit sahaja.
Kemudian Abdullah bin Salam bertanya; “Bilakah ketiknyaa ia berlaku?”
Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab, “Masa itu berlangsung pada akhir waktu siang.”
Setelah itu Abdullah bertanya lagi, “Bukankah saat itu bukan waktu solat?”
Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab;


بَلَى إِنَّ الْعَبْدَ الْمُؤْمِنَ إِذَا صَلَّى ثُمَّ جَلَسَ لَا يَحْبِسُهُ إِلَّا الصَّلَاةُ فَهُوَ فِي الصَّلَاةِ



“Benar! Sesungguhnya seorang hamba mukmin jika melakukan solat kemudian duduk, tidak menahannya kecuali solat, melainkan dia berada di dalam solat.”
(HR. Ibnu Majah. Syaikh al Albani menilainya hasan sahih).
Juga berdasarkan hadis Anas bin Malik, Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:


التمسوا الساعة التي ترجى في يوم الجمعة بعد العصر إلى غيبوبة الشمس



“Carilah saat yang sangat diharapkan pada hari Jumaat, iaitu setelah ‘Asar sampai tenggelamnya matahari.” (HR. at Tirmidzi; dinilai Hasan oleh al Albani di dalam Shahih at Tirmidzi dan Shahihh at Targhib).
Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Diriwayatkan Sa’id bin Mansur dengan sanad sahih kepada Abu Salamah bin Abdirrahman, ada beberapa orang dari sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم berkumpul lalu saling menyebut satu masa yang terdapat pada hari Jumaat. Kemudian mereka berpisah tanpa berbeza pendapat bahawa saat tersebut berlangsung pada akhir waktu dari hari Jumaat.” (Fath al Baari: II/421 dan Zaad al-Ma’ad oleh Ibnul Qayim I: 391)

Diriwayatkan Sa’id bin Jubair dari Ibnu Abbas, dia berkata: “Masa (mustajab) yang disebutkan ada pada hari Jumaat itu terletak di antara solat Asar dan tenggelamnya matahari.”


Sa’id bin Jubair jika sudah selesai melaksanakan solat Asar, dia tidak mengajak seorang pun berbual sehingga matahari terbenam.
Dan yang menguatkan pendapat kedua ini adalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah, beliau mengatakan bahawa, itu adalah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan generasi salaf dan banyak sekali hadis-hadis mengenainya.

Ibnul Qayyim juga mengatakan, “Menurut saya, ketika solat merupakan waktu yang diharapkan pengabulan doa. Kedua-duanya merupakan waktu pengmakbulan meskipun satu ketika yang khusus itu di akhir waktu selepas solat Asar. Hari Jumaat merupakan hari yang pastinya masa mustajab itu berlaku. Adapun ketika mustajab pada waktu solat, ia mengikuti waktu solat itu sendiri sehingga boleh awal atau kemudian. Kerana ketika berhimpunya kaum muslimin, solat, tunduknya dan munajat mereka kepada Allah memiliki pengaruh terhadap pengabulan (doa). Dengan demikian, masa pertemuan mereka merupakan ketika yang diharap dikabulkannya doa. Dengan demikian itu, seluruh hadits berpadu antara yang satu dengan yang lain..” (Zaad al-Ma’ad: I/394)

Pendapat ini juga yang dipilih oleh Syaikh Ibnu Bazzrahimahullah sebagaimana yang dinukil oleh DR. Sa’id bin Ali al Qahthan dalam Shalatul Mukmin. Syaikh Ibnu Bazz berkata,“Perkara itu menunjukkan bahawa sudah sewajarnya bagi orang muslim memberikan perhatian terhadap hari Jumaat kerana di dalamnya terdapat satu masa yang tidaklah seorang muslim berdoa memohon sesuatu bertepatan dengan ketika tersebut melainkan Allah akan mengabulkannya, iaitu setelah solat Asar. Mungkin juga masa ini berlaku setelah duduknya imam di atas mimbar. Oleh kerana itu, jika seseorang datang dan duduk setelah Asar menunggu solat Maghrib seraya berdoa, doanya akan dikabulkan. Demikian juga jika setelah naiknya imam ke atas mimbar, seseorang berdoa dalam sujud dan duduknya maka sudah pasti doanya akan dikabulkan.” (DR. Sa’id bin Ali bin Wahf al Qahthani, Ensiklopedi Solat menurut al-Quran dan as Sunnah).

15 Keutamaan Dan Keistimewaan Hari Jumaat


Setiap hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing. Di antara 7 hari yang ada dalam setiap minggu itu juga, kaum Yahudi berbangga dengan hari Sabtunya dan penganut Kristian pula meraikan hari Ahadnya, maka Umat Islam sudah tentu memiliki hari kebesarannya tersendiri dan amat menghargai dengan Kemuliaan Hari Jumaat sebagai ‘Penghulu Segala Hari’.
Dalam riwayat lain dari Hudzaifah Radhiyallahu ‘anhu dengan lafaz;

أَضَلَّ اللهُ عَنِ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا، فَكَانَ لِلْيَهُوْدِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ اْلأَحَدِ، فَجَاءَ اللهُ بِنَا فَهَدَانَا اللهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَاْلأَحَدَ، وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَاْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيَّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلاَئِقِ.

“Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Sebagaimana Allah SWT telah menjadikan kota Makkah dan Madinah sebagai kota Suci; menjadikan Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa sebagai masjid yang paling utama; menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan paling mulia di antara bulan-bulan lainnya, menjadikan malam Lailatul Qadar sebagai malam Seribu bulan; menjadikan sepertiga malam sebagai waktu paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Khaliq; begitu juga hari Jumaat, Allah SWT telah menjadikan Hari Jumaat sebagai ‘Sayyidul Ayyam’ atau penghulu segala hari (hari paling utama). Terdapat banyak kebaikan dan kelebihan pada hari ini termasuklah Solat Jumaat.


Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat, pada hari itu Adam Alaihissallam diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi pada hari tersebut terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya.” (HR. Muslim)


Keutamaan Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin. Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Berikut adalah keistimewaan dan keutamaan hari Jumaat:


1. Hari Paling Mulia


Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini, di antaranya:


Allah SWT ciptakan Adam Alaihissallam
Nabi Adam alaihissallam dimasukkan ke dalam syurga.
Nabi Adam alaihissallam diturunkan dari syurga menuju bumi.
Allah mewafatkannya Nabi Adam Alaihissallam.
Hari Jumaat juga merupakan hari akan berlakunya Qiamat.
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (HR. Muslim)

Abu Hurairah Radhiyalahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيْهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلاَ تَقَوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَة


“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam Alaihissalam) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim r.a.)
Dalam riwayat Aus bin Aus Radhiyallahu ‘anhu pula menyatakan:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ قُبِضَ، وَفِيْهِ النَّفْخَةُ، وَفِيْهِ الصَّعِقَةُ …….“Sesungguhnya seutama-utama hari kamu adalah hari Jumaat; pada hari ini Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini juga ia dimatikan, pada hari ini ditiupkan sangkakala (tanda kiamat), dan pada hari ini juga hari kebangkitan.”

2. Hari Bagi Kaum Muslimin


Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya Umat Muhammad صلى الله عليه وسلم dalam masjid-masjid mereka yang besar untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengarkan dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.

Dari Kuzhaifah dan Rabii bin Harrasy Radhiyallahu Anhuma bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata, “Allah menyesatkan orang-orang sebelum kami pada hari Jumaat, Yahudi pada hari Sabtu, dan Nasrani pada hari Ahad, kemudian Allah mendatangkan kami dan ember petunjuk pada hari Jumaat, mereka umat sebelum kami akan menjadi pengikut pada hari kiamat, kami adalah yang terakhir dari penghuni dunia ini dan yang pertama pada hari kiamat yang akan dihakimi sebelum umat yang lain.” (HR. Muslim dan Ibnu Majah)

Al-Hafidz Ibnu Katsir berkata: “Hari ini dinamakan Jumaat, kerana merupakan ambilan dari kata ‘al-jamu’ yang ertinya berhimpun, kerana Umat Islam berkumpul pada hari itu setiap minggu di masjid-masjid. Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin berkumpul untuk menunaikan ibadah kepada-Nya.”

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَذَرُ‌وا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿
٩



“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)

3. Penghulu Segala Hari


Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana Islam meletakkan Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding hari-hari yang lain.


Dalam suatu hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”
Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir Radhiyallahu Anhu berkata, Rasulullahصلى الله عليه وسلمberkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (HR. Ahmad)


4. Hari Kebesaran Mingguan


Dalam 7 hari yang ada, hari Jumaat adalah ‘Hari Besar’ yang berulang setiap minggu.

Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri soalat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.” (HR. Ibnu Majah)

5. Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat


Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah صلى الله عليه وسلمbersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

6. Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi


Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan terdapat mereka tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjid dan mendirikan Solat Jumaat.


Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke araysh untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”


Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

7. Hari Mustajab Berdoa


Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:

a. Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.

b. Pada akhir waktu Asar.
Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).


Keterangan lanjut :-



‘Masa-masa Mustajab Berdoa di Hari Jumaat’ ~ (Klik Di Sini)

8. Hari Dihapuskan Dosa


Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)

Dari Salman Al-Farisi Radhiyallahu Anhu mengatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia hendak mendirikan solat yang sesuai dengan tuntutannya, lalu diam mendengarkan (dengan seksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (Dosa dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya.” (HR. Bukhari)

Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntunan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR. Bukhari).


9. Hari Lebih Utama Bersedekah


Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya.


Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya.” .


Hadis dari Ka’ab menjelaskan: “Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.” (Mauquf Shahih)

10. Hari Meraih Pahala


Orang yang hadir dan menunaikan kewajibannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke Masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa.


Aus bin Aus berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan menempati shaf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).


11. Hari Hidayah Daripada Allah SWT


Hari Jumaat merupakan keistimewaan dan hidayah yang Allah SWT berikan kepada umat Islam yang tidak diberikan kepada umat-umat lain sebelumnya.


Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ اْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَنَحْنُ أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوْتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا وَأُوْتِيْنَاهُ مِنْ بَعْدِهِمْ فَاخْتَلَفُوْا فَهَدَانَا اللهُ لِمَا اخْتَلَفُوْا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ، فَهَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِيْ اخْتَلَفُوْا فِيْهِ هَدَانَا اللهُ لَهُ –قَالَ: يَوْمُ الْجُمْعَةِ-، فَالْيَوْمُ لَنَا وَغَداً لِلْيَهُوْدِ وَبَعْدَ غَدٍ لِلنَّصَارَى.


“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), besok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.” (HR Muslim r.a.)


.
Dalam riwayat lain dari Hudzaifah Radhiyallahu ‘anhu dengan lafaz;

أَضَلَّ اللهُ عَنِ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا، فَكَانَ لِلْيَهُوْدِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ اْلأَحَدِ، فَجَاءَ اللهُ بِنَا فَهَدَانَا اللهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَاْلأَحَدَ، وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَاْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيَّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلاَئِقِ.
“Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

12. Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’


Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).


13. Hari Terselamat Dari Seksa Kubur


Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, InsyaAllah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.


Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah SWT daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

14. Hari Berlakunya Qiamat


Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Qiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada menyebut bahawa: “Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Dalam hadis lain, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.: “Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)



15. Hari Dapat Melihat Allah SWT Di Syurga


Hari tatkala Allah SWT menampakkan diri kepada hamba-Nya yang beriman di syurga.


Firman Allah SWT;


وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ ﴿٣٥



“Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).”


(Surah Al-Jumuaah 50; Ayat 35)


Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas : “‘Dan Kami memiliki pertambahannya’; Beliau mengatakan; “Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”
#*


Semoga Hari Jumaat ini menjadikan kita insan yang lebih Bertaqwa, lebih Berhikmah, lebih Berjaya Dan Lebih Cemerlang di dunia & akhirat. Jadi, marilah sama-sama kita berdoa agar Allah SWT memilih kita di kalangan golongan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT.


.
والله أعلم بالصواب


Wallahu A’lam Bish Shawab


(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Kelebihan Dan Hikmat Ayat Seribu Dinar


Ayat 2 dan 3 surah At-Talaq atau lebih dikenali sebagai ‘Ayat 1000 Dinar’ merupakan ‎amalan yang masyhur dalam hal berkaitan rezeki dan perlindungan diri. Ramai ‎yang mengamalkan ayat ini untuk tujuan meminta agar Allah SWT mengurniakan kemurahan ‎rezeki, kemudahan dan penyelasaian masalah. Tetapi haruslah mengamalkannya secara beristiqamah.
Hikmah Ayat 1000 Dinar.

Sesiapa mengamalkan ayat ini Insya’Allah akan:‎

‎1. Memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka.‎
‎2. Mendapat jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan.‎
‎3. Mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana seperti peperangan,‎kezaliman dan bencana alam.‎
‎4. Jika berperang Insya’Allah tidak akan cedera atau binasa kecuali telah sampai ajal.‎
‎5. Allah akan menunaikan segala hajat dan memberi kemudahan dalam setiap urusan.


Sejarah Dinamakan 1000 Dinar‎

Pada zaman dahulu ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi Nabi Khidir. ‎Pedagang itu kemudian diperintahkan untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. ‎Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi ‎yang beliau alami itu adalah benar. Pedagang itu pun ‎bersedekah wang sebanyak 1000 dinar, seperti yang diperintahkan. Setelah itu, sekali lagi pedagang tersebut ‎bermimpi bertemu Nabi Khidir. Lalu Nabi Khidir pun mengajarkanlah akan pedagang ‎itu ayat 2-3 surah at-Talaq untuk diamalkan. Lalu beramallah pedagang dengan ayat ‎berkenaan.‎


Sehinggalah pada suatu hari pedagang tersebut ingin pergi berdagang ke suatu tempat ‎yang lain dengan menggunakan jalan laut iaitu menaiki kapal. Di tengah pelayaran ia ‎dilanda angin taufan yang sangat dahsyat. Apa yang boleh dilakukan oleh pedagang itu ‎hanyalah bertawakkal pada Allah sambil terus menerus membaca akan ayat yang telah ‎diajarkan Nabi Khidir.

Akhirnya kapal yang beliau naiki pecah dipukul ombak, semua ‎penumpangnya kembali ke alam baqa kecuali pedagang tersebut. Apabila telah reda ‎angin, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah ‎negeri bersama barang dagangannya yang tidak rosak walau sedikitpun. Sambil menadah ‎tangan mengucapkan syukur ke hadhrat Allah SWT, beliau sedar dan insaf akan kebesaran ayat ‎yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri ‎tersebut.‎

Tinggallah lelaki itu di negeri yang baru, berdagang dan berniaga dengan penduduk ‎negeri, disamping terus mengamalkan membaca ayat 2-3 surah at-Talaq, sehinggalah ‎beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). ‎Begitulah kisahnya, sehinggalah sekarang ini ayat yang diajar Nabi Khidir itu digelar ayat ‎‎1000 dinar.‎
Pendapat Ulama’

Memang kita tidak boleh menafikan kelebihan ayat 1000 dinar. Para ulama’ menganjurkan supaya mengamalkan ayat ini untuk memperolehi kejayaan atau keuntungan. Walaupun terdapat perselisihan dan tentangan dari para alim ulama’ akan kelebihan dan kesahihan sumbernya, kerana tidak ada dalil dari al-Quran atau hadis.

Begitu pun beramal dengan ayat-ayat Allah tidak akan merugikan sesiapa bahkan Allah SWT akan mengurniakannya dengan kelebihan yang banyak.

Apabila diperhatikan kepada makna setiap ayat, memang tepat dan benar bahawa ayat ini amat penting untuk diamalkan oleh setiap umat Islam, agar lebih tinggi kebergantungan seseorang itu kepada Allah SWT dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan.

Ayat tersebut mengandungi dua pengajaran iaitu supaya kita bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dalam semua urusan rezeki dan kebergantungan. Hanya Allah yang Maha Berkuasa menentukan rezeki dan jalan keluar dari sebarang masalah dalam hidup setiap hambaNya.‎ Jika keyakinan itu disematkan dihati dan fikiran maka sudah tentu Allahlah tempat penentu kesudahan.




Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. 

- (Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Amalan

Ramai yang menghafal ayat ini untuk dibaca dimasa-masa yang sesuai, seperti selepas solat dan ketika berdepan masalah. Tidak kurang juga peniaga menggantung atau menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan mereka, dengan harapan perniagaan bertambah maju. Walaubagaimana pun jika sekadar menampalkan ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan, tapi solat tidak dikerjakan, amalan tidak jujur dalam perniagaan terus dibuat atau sebagainya, ini tidak bermakna kita mengamalkan ayat 1000 dinar.


Tujuan menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu beringat untuk bertaqwa dan bertawakkal. Begitu juga kalau kita baca ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertaqwa dan bertawakkal, itu juga bukan cara yang betul mengamalkan ayat 1000 dinar.

Sebenarnya ayat seribu dinar adalah sebaik-baik doa untuk segala masalah. Walaupun begitu banyak doa-doa lain untuk perlindungan diri dari musibah dan ketika susah. Tetapi tidak ramai yang mampu menghafal banyak doa-doa yang khusus untuk sesuatu tujuan tersebut.

Sewaktu dalam kesusahan dan dalam keadaan darurat, ada kalanya kita terlupa, apakah doa yang hendak dibaca. Yang sebaik-baiknya ayat seribu dinar yang mudah dihafal dapat dibaca. Ayat seribu dinar merangkumi kesemuanya untuk mendapatkan rezeki yang banyak, melindungi diri dari bala dan musibah serta perlindungan dari syaitan, jin dan iblis.

Hikmat Dan Khasiat Ayat Seribu Dinar
‘Yang sakit akan sembuh, yang hitam akan putih, yang keruh akan jernih’.

1.Ayat ini jikalau diamalkan setiap kali lepas solat sebanyak 3 X, Insya’Allah akan beroleh seribu faedah.

2.Sesiapa yang beramal ayat ini Allah ta’ala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.

3.Jika dibacakan kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 X dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 X diberi minum, Insya’Allah si pesakit akan sembuh.

4.Jika mengalami masalah berat, seperti kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, huru-hara dan peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara. Beramallah selalu dengan ayat ini selepas solat fardhu, mudah-mudahan segala kesukaran mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala.

5.Jika bertempur menentang musuh, tidak binasa disebabkan terbakar, tidak lut dengan pukulan besi dan tiada mudarat dari sebarang benda yang bahaya. Hendaklah mengamalkan ayat ini dan bertawakkal kepada Allah SWT.

1.Baca ayat ini sesudah solat lima waktu,

2.Baca ketika hendak tidur tiga kali,

3.Baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.

Selepas mengetahui hikmat ayat ini, eloklah diamal, dihafal dan difahamkan maknanya sekali sebagai bekalan kita ketika menghadapi segala kesusahan dan kesengsaraan yang tidak kita jangkakan di masa mendatang.


والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته