Sedikit info Nabi Muhammad S.A.W
Dilahirkan pada tahun 571 Masehi melalui perkahwinan Aminah dengan Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim. Baginda adalah keturunan Nabi Ismail A.S bin Nabi Ibrahim A.S Nabi Muhammad S.A.W adalah insan termulia melebihi tingkat dan darjat dari seluruh nabi-nabi dan umat manusia, bahkan seluruh makhluk-makhluk ALLAH S.W.T sebab itu Rasulullah (Nabi Muhammad S.A.W) bergelar "Rahmatan Lil Alamin". ertinya "Rahmat bagi seluruh alam".Rasulullah diberi kitab Al Quran, diutus oleh ALLAH untuk seluruh bangsa di dunia ini, seperti nabi-nabi atau rasul-rasul ALLAH terdahulu baginda pun mengajar dan menyeru manusia supaya menyembah ALLAH. Nabi Muhammad S.A.W adalah penutup dari sekalian nabi dan rasul, jadi agama ALLAH yang diwahyukan semenjak Nabi Adam secara bertahap-tahap lagi teratur, dilengkapi dan disempurnakan ALLAH pada kenabian
Muhammad S.A.W. Sebab itu tidak akan ada lagi nabi dan wahyu sesudah baginda. Bahkan dalam kitab-kitab yang sebelumnya menyatakan tentang kelahiran Nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul yang terakhir. Dalam hal ini Nabi Isa A.S sendiri menjelaskan kepada kaumnya tentang akan munculnya seorang nabi terakhir sesudahnya. Di dalam Al Quran dijelaskan ungkapan Nabi Isa A.S tersebut sebagai berikut.
Firman ALLAH SWT maksudnya: "Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israil sesungguhnya aku ini pesuruh ALLAH kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ini ialah sihir yang jelas nyata". (As Saaf:6)
Firman ALLAH S.W.T lagi maksudnya:"Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul ALLAH dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) ALLAH adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (Al Ahzab:40)
Ini bermakna syariat Muhammad S.A.W adalah penyudah atau pelengkap dalam menyempurnakan segala syariat nabi-nabi terdahulu dan sesuai menurut keperluan dan keadaan atau suasana manusia yang hidup di akhir zaman hinggalah ke hari Kiamat. Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukan agama para rasul terdahulu adalah Islam kerana mereka menyeru manusia ke arah ketundukkan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T, sebagaimana juga Nabi Muhammad S.A.W diperintahkan menyeru manusia ke arah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T.
No comments:
Post a Comment