Tuesday, April 30, 2013

Munafik


Munafik dikategorikan sebagai orang yang berpura-pura melahirkan keimanan terhadap Allah sedangkan hatinya tetap kufur.Munafik juga merujuk kepada orang yang berbuat atau bersifat nifaq.Menurut Al-quran orang munafik mengaku beriman, mengakui adanya Allah dan menerima bahawa Nabi Muhammad itu utusanNya.Namun hatinya tidak ikhlas timbul keragu-raguan dan lebih keras lagi diam-diam ia menolak pengakuan itu.Beza antara orang munafik dan kafir adalah golongan kafir jelas-jelas menolak Islam.Tetapi orang munafik secara lisannya menerima Islam dan menyatakan beriman, tetapi di hati ingkar dan menolak ajaran Rasullulah.

Sewaktu islam mula berkembang di Madinah terdapat banyak orang munafik di sana dan di bahagikan kepada dua golongan iaitu munafik Yahudi dan munafik Arab.Golongan munafik dari kelompok Yahudi merasa diri mereka lebih hebat dibandingkan yang lain.Kehidupannya lebih makmur sehingga merasa darjat mereka lebih tinggi dan lebih pintar daripada orang-orang penduduk asli Arab. Golongan munafik lainnya berasal dari kelompok Arab Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda iaitu terdapat tiga tanda-tanda orang munafik iaitu apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi kepercayaan dia khianati.Selain itu apabila seseorang itu membiarkan hatinya dikuasai oleh sifat bakhil maka bererti orang itu sudah terjebak dalam kemunafikan.Orang munafik rakus dan tamak dalam menumpukan kakayaan.Mereka sanggup membanting tulang tanpa mengira waktu.Seandanya mereka mampu maka seluruh yang ada di muka bumi inipun ingin mereka miliki.Akibatnya waktu ibadah utuk mengingati Allah semakin lama semakin diabaikan.

Orang yang bersifat bakhil selalu merasakan bahawa harta benda yang ada pada mereka adalah hak mutlak mereka.Sehingga menganggap kekayaan itu kerana penat lelah mereka bekerja.Ia lupa bahawa harta kekayaan itu amanat dari Allah.Sekali Allah mengkehendakinya lenyap maka sekejap saja ia akan kehilangan harta benda yang dimilikinya.

Seterusnya berhati dengki,di dalam dada orang munafik tersimpan kebusukan.Ia sangat senang melihat orang lain menderita,tetapi benci apabila melihat orang lain mendapat kebahagiaan.Seorang yang berhati dengki selalu merasa tidak senang.Tiba-tiba ia menjadi benci dan gelisah ketika melihat orang lain bahagia.Sehinggakan mereka sanggup menebarkan fitnah agar orang lain pun ikut merasa benci.

Sebab-sebab timbulnya hasad dengki adalah kerana adanya rasa permusuhan dan kebencian.Jika ada orang yang menyakiti hatinya atau menyalahi tujuan dan kehendaknya maka dia akan membenci orang tersebut.Seterusnya timbullah rasa dendam yang mendorongnya untuk membalas dan berharap agar orang yang dibenci itu mendapat kecelakaan.Sebab dengki juga mungkin disebabkan kerana merasa diri lebih hebat berbanding orang lain.Orang yang demikian ini biasanya ingin selalu berada di depan dan dihormati oleh orang lain.Mereka selalu ingin menjadi orang yang paling menonjol dalam segala hal.Hatinya selalu berharap agar jangan ada orang yang dapat menandingi kedudukan dan kemampuannya.

Keburukan lain yang timbul dari sifat dengki ialah seseorang akan terdorong untuk melakukan kemaksiatan.Bentuk kemaksiatan yang dilakukan adalah seperti mengumpat, menghasut, dan memburuk-burukkan orang yang didengki.Orang yang mempunyai sifat dengki tidak akan diakui oleh Rasullulah sebagai golongannya.Maka mereka tidak akan mendapat pertolongan pada hari kiamat kelak.Walaupun seseorang itu mengumpulkan amal kebaikan segunung, tetapi dihatinya terlintas kedengkian maka amalan itu menjadi rosak dan tidak ada ertinya sama sekali.

Orang munafik sentiasa berasa berat untuk melakukan ibadah, kalau pun ibadahnya rajin maka hal itu dilakukan kerana keterpaksaan.Misalnya kerana takut diejek sesama muslim yang taat dan takut dianggap sebagai orang yang tak suka beribadah.Selain itu apabila ada majlis ilmu mereka merasa berat untuk menghadirkan diri. Kalaupun datang, itu pun kerana merasa segan kepada orang lain. Sesungguhnya hati orang yang demikian itu sudah dikuasai oleh nafsunya sehingga tidak ada motivasi sedikit pun dalam menjalankan amal ibadah.

Sifat-sifat buruk itu wujud kerana dipengaruhi oleh sifat-sifat yang hanya mementingkan kepentingan duniawi sahaja.Kesenangan duniawi yang berlebih-lebihan menyebabkan seseorang itu jadi malas beribadah. Ia tidak punya motivasi untuk akhirat, tidak punya dorongan untuk beramal ibadah.Bagi mereka pahala tidak penting.Hati mereka telah terikat kuat dalam urusan harta benda.Sehinggakan kadang-kadang timbul perasaan di hati mereka yang merasakan ibadah tidak mendatangkan keuntungan apa-apa.

Kecenderungan seorang munafik ialah dalam diam-diam ia membenci seorang muslim terutama muslim yang taat. Di belakang ia akan mencaci dan mengumpatnya. Walaupun secara lahiriah dirinya sendiri nampak seperti seorang muslim, tetapi muslim yang munafik. Seorang munafik tidak pernah menghiraukan bahawa sesama muslim tidak boleh menyakiti melalui cacian, tindakan, menyebarkan isu bohong mahupun dengan sikap penampilan. Bahkan sesama muslim juga dilarang tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari.Itulah orang munafik, ia suka mengoreksi orang lain, sedikit sahaja keburukan maka akan dibesarkan.Semua itu dilakukan kerana kecenderungan hatinya yang berkeinginan untuk diakui sebagai orang yang taat disanjung dan diagungkan oleh orang lain.

Berzikir ertinya mengingat.Zikrullah bererti mengingat Allah. Tidak ada batas waktu dan ruang untuk mengingati Allah. Seorang muslim yang beriman hatinya selalu terikat kepada Allah.Tetapi tidak demikian yang dirasakan orang munafik.Ia mengenal Allah tetapi hatinya tidak ada ikatan sedikit pun denganNya. Itulah sebabnya orang-orang munafik sangat malas untuk berzikir.Menurut Ali bin Abi Thalib, salah satu ciri muslim adalah banyak berzikir kepada Allah. Sedangkan ciri orang munafik adalah sedikit sekali ia berzikir kepada Allah. Orang munafik merasa tidak begitu memerlukan Allah sehingga ia enggan berzikir. Kerana itu dalam setiap langkah dan perbuatan sehari-hari selalu dilakukan berdasarkan hawa nafsu.Perbuatannya tidak terkawal karana hatinya tidak ingat Allah .Sehinggakan apa sahaja yang dilakukannya mudah sekali mengarah pada perbuatan dosa. Kerana tiada rasa takut kepada Allah atau kerana ia tidak ingat Allah maka perbuatannya dilakukan sesuka hati.

Mengabaikan solat merupakan salah satu daripada banyak ciri orang munafik.Mereka malas melakukan ibadah dan malas pula mengerjakan solat wajib, terutamanya sekiranya mereka duduk bersendirian.Tetapi sekiranya mereka duduk dengan orang yang tekun maka mereka pun mengerjakan ibadah untuk menunjukkan bahawa mereka seorang yang beriman.Seorang muslim juga berkemungkinan terjebak dalam kemunafikan sekiranya mereka mengaku beriman tetapi malas melakukan solat.

Terdapat juga orang yang mengaku muslim tetapi sama sekali benci kepada masjid atau ibadah. Ia sangat malas jika berjemaah di masjid. Paling tidak pun hanya seminggu sekali sahaja mereka menjejakkan kaki ke masjid itupun untuk solat jumaat. Sikap malas melakukan solat fardhu secara berjemaah juga boleh dianggap sebagai mengabaikan solat juga.Selain itu seorang muslim yang suka mengumpat dan memburuk-burukkan sesama muslim juga dianggap sebagai mengabaikan solat. Walaupun solatnya rajin nampak khusyuk namun kerana sikapnya itu maka rosaklah solatnya.

Jika seseorang melakukan solat secara tergesa-gesa maka ia juga boleh dianggap sebagai orang yang terjebak kemunafikan. Biasanya mereka melakukan solat supaya tidak dianggap sebagai orang yang ingkar. Seorang muslim yang melakukan solat dengan tergesa-gesa tanpa ada alas an apa pun, maka ia tidak akan mendapat kesan positif dari apa yang dikerjakan itu. Ertinya inti solat yang dikerjakannya sama sekali tidak menyentuh jiwanya.Solat yang tidak khusyuk dianggap sebagai amalan yang tidak serius. Jadi solat yang dilakukan tidak lebih dari sekadar gerak badan sahaja. Kerana itulah ramai orang yang melakukan solat tetapi hanya mendapat keletihan sahaja.

Orang yang mengutamakan kebaikan zahir dan berpenampilan istimewa iaitu berlagak seperti orang yang soleh seringkali mengabaikan kesucian batinnya .Penampilan yang dibuat-buat seolah-olah kearab-araban itu hanyalah sebagai alat agar orang menilai dirinya taat. Padahal sikap seperti itu tidak lebih daripada riyak untuk mempamerkan diri agar dipuji dan diagungkan oleh orang lain. Inilah sifat orang munafik antara lahir dan batinnya bertolak belakang. Lahiriah nampak indah sedangkan hatinya busuk. Bagi orang munafik penampilan zahir dianggap lebih utama. Tanpa menampakkan zahir yang bagus mereka merasa tidak diakui di tengah masyarakat. Namun penampilan lahiriah yang dipamerkan biasanya tidak sebatas dengan penampilan tingkah laku.

Orang-orang munafik juga mempunyai sifat enggan bertaubat. Mereka tidak begitu merisaukan dosa yang dibuat. Mereka menganggap dosa adalah urusan akhirat sedangkan yang harus diutamakan mereka adalah urusan duniawi. Ancaman Allah hanya akan dirasakan di akhirat kelak. Oleh itu yang penting bagi mereka sekarang adalah mendapat kesenangan dan kenikmatan. Bertaubat atau tidak bagi mereka sama saja. Hati mereka tidak pernah tertarik untuk mensucikan diri padahal nasihat dan ajakan bertaubat telah sampai ke telinga mereka.

Orang-orang munafik yang berbuat dosa juga mengucapkan istigfar. Tetapi ucapannya itu hanyalah topeng belaka kerana menganggap kalimat itu sering diucapkan orang yang taat. Meraka tidak memahami dan meresapi makna dari istigfar.Oleh sebab itu pintu taubat orang munafik tertutup bukan kerana Allah tidak Maha Rahman tetapi kerana perbuatan mereka sendiri. Hatinya dibiarkan pekat dan berkarat sehingga setiap kebenaran selalu tertolak. Sekiranya dosa masih tipis dan mereka mohon taubat daripada Allah dengan sepenuh hati maka maka pintu taubat masih terbuka baginya. Kerana sesungguhnya Allah itu maha pemurah dan penyayang.

Percaya terhadap kebenaran Al-Quran dan As-sunnah adalah wajib bagi setiap orang muslim. Keduanya merupakan ajaran tauhid. Meskipun seorang mengaku muslim dan menyatakan beriman kepada Allah tetapi jika di hatinya masih ada keraguan di atas kebenaran Al-Quran maka ia adalah petanda bahawa ia masih terjebak dalam sifat kemunafikan. Hanya orang-orang munafik sahaja yang meragukan kebenaran Al-Quran dan Sunah Rasul.Mereka menganggap ayat-ayat dalam Al-Quran menyulitkan dan melambatkan langkah dalam mencari kesenangan duniawi.

Ramai orang mengaku beriman kepada Allah, malaikat, hari akhirat, dan Rasulullah tetapi ia meremehkan Al-quran. Sikap meremehkan Al-Quran itu tidak hanya secara langsung tetapi juga melalui sikap. Contohnya ketika mendengar azan dikumandangkan ia tetap saja malas bangkit tetapi semakin rancak dengan percakapannya. Akhirnya solat yang dilakukan menjadi tergesa-gesa. Orang yang mengakui Al-Quran sebagai merupakan wahyu Allah tetapi ia suka makan riba atau tidak jujur dalam berdagang. Sikap yang demikian itulah dianggap sebagai meremehkan Al-Quran.

Orang-orang munafik menganggap ayat-ayat Al-Quran itu sekadar bacaan yang dilagukan. Mereka tidak tertarik dengan makna dan pesan yang terdapat dalam Al-Quran Begitulah ciri-ciri orang munafik . Di tengah-tengah orang beriman ia akan menampakkan ketaatannya. Ia baca Al-Quran dengan merdu sekali dan menawan sehingga orang awam akan memuji bahawa dia seorang ahli membaca Al-Quran. Tetapi di belakang mereka memperolok-olokkan Al-Quran. Hatinya ingkar dan tidak mengakui kebenaran Al-Quran

Di samping meremehkan Al-Quran orang munafik juga memperolokkan sunnah Rasullulah. Mereka merendahkan, memperlecehkan dan menghina setiap tindakan Rasullulah. Orang-orang munafik berpura-pura mengakui bahawa nabi Muhammad itu utusan Allah tetapi sebenarnya hati mereka menentang keras. Seperti yang dinampakkan oleh Abdullah bin Ubai dan pengikut-pengikutnya.

Sikap sombong tidak patut wujud dalam diri seorang muslim kerana hanya orang-orang munafik yang memiliki sikap tersebut. Seorang munafik merasakan bahawa ia boleh hidup sendirian tanpa bantuan orang lain. Kerana itu jika ia berada dalam kejayaan maka sombongnya sermakin menjadi-jadi. Namun jika ia berada dalam kesengsaraan maka mulutnya yang manis mula digunakan. Di hadapan orang ia berlagak seperti orang jujur dan dipercayai dan mampu melaksanakan amanat. SIkapnya yang nampak baik dan lisannya yang sedap didengar itu dimaksudkan agar orang lain percaya. Jika sudah dikasihani dan mendapat kepercayaan maka dalam waktu yang tidak lama tentu dia akan berkhianat.

Orang munafik juga memanfaatkan ibadah sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu, misalnya pujian dan pengakuan dari orang lain. Amal ibadah yang dilakukan dikemas sebagus mungkin agar orang menganggapnya dermawan. Semua itu terdorong oleh nafsunya. Sesungguhnya keindahan ibadah yang nampak mempersonakan bertolak belakang dengan hatinya yang busuk. Suka mempamerkan amal perbuatan yang baik di sebut riyak.Perbuatan tersebut masuk dalam kriteria dosa besar kerana dianggap syirik kecil

Sesungguhnya riyak itu suatu penyakit yang bersarang dalam hati orang munafik. Penyakit itu akan menyuburkan hawa nafsu dan keinginan untuk dipuji orang. Keinginan untuk dipuji itu kemudian mempengaruhi perilaku lahiriah. Sehingga amal ibadah yang seharusnya hanya ditujukan kepada Alah kemudian bercampur dengan tujuan ingin diperhatikan orang lain. Niat beribadah sudah terpecah menjadi dua. Riyak yang paling berbahaya ialah iman iaitu seseorang berikrar dengan dua kalimah syahadat namun hatinya penuh kebohongan.

Satu daripada tiga ciri utama orang munafik ialah jika ia berjanji ia akan mungkiri. Padahal memungkiri janji ialah suatu dosa yang sangat besar. Janji merupakan suatu ketetapan yang di buat dan untuk dilaksanakan sendiri. Orang-orang yang berikrar masuk islam dan mengangkat dengan kalimah syahadat tetapi perilakunya tidak mencerminkan seorang muslim maka dialah orang yang mengingkari janji kepada Allah. Di samping mengingkari janji kepada Allah orang munafik suka sekali ingkar janji kepada sesama manusia. Kalau bicara ringan sekali tetapi pelaksanaannya berat dan tidak pernah ditunaikan.

Salah satu ciri orang munafik ialah jika berbicara banyak bohongnya.Kebohongan-kebohongan yang ditimbulkan oleh mulut si munafik seringkali menimbulkan fitnah. Akibatnya terjadilah keresahan di tengah-tengah masyarakat. Lebih parah lagi apabila keresahan itu mencapai puncaknya berupa perpecahan umat. Orang munafik bagaikan musuh dalam selimut.Mereka sulit dikesan kerana bertopengkan kesolehan dan kearifan. Tetapi diam-diam terhadap orang awam akan menebarkan desas-desus yang mampu menggoyahkan iman.

Sumpah palsu ialah bersumpah dusta yang dilakukan secara sengaja. Sifat ini merupakan ciri seorang munafik. Mereka beranggapan dengan bersumpah orang lain akan percaya dan merasakan yang kebohongan tersebut tidak akan diketahui oleh sesiapapun. Dengan sumpahnya yang seolah-olah bersungguh-sungguh sehinggakan berani menyebut nama Allah. Mereka cuba untuk mengelabui orang. Tujuan utama adalah menipu dan merampas hak orang lain dengan sumpahnya itu.

Firman Allah swt yang bermaksud :“Sesungguhnya orang-orang yang munafik itu (ditempatkan) di tingkat yang paling bawah dari neraka, dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong bagi mereka.” (An:Nisa:145)

No comments:

Post a Comment