Showing posts with label Haji. Show all posts
Showing posts with label Haji. Show all posts

Friday, October 19, 2012

Umrah Dan Haji



,
HAJI


Ibadah Haji mengikut kebiasaan sebutan orang adalah ‘haji besar’ dan ibadah Umrah pula disebut ‘haji kecil’. Musim Haji bermula daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah(hari raya puasa hingga hari raya haji), manakala Umrah boleh dilakukan pada bila-bilamasa termasuk di luar musim haji. Dari segi syarak pula ianya adalah mengunjungi Baitullahil Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang tertentu di sana.


Menunaikan Haji


Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ia dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalahmengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.
Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97)

Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah membuka ruang dan memudahkan semua hamba-Nya menziarahi, mendekatkan diri dan bermunajat kepada-Nya serta memohon limpah Rahmat-Nya dan Hidayah-Nya. Ibadat haji adalah satu-satunya peluang keemasan untuk kita mengadap Allah secara lebih dekat.

Firman Allah dalam surah al-Hajj: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.”

Pemergian ke kota Makkah atau Arafah bukan semata-mata perjalanan jasad, tetapi perjalanan ‘rabbani’ iaitu perjalanan berserta ketulusan hati dan rohani ke arah menemui Allah SWT serta mengeratkan jalinan hubungan antara Allah sebagai Khalik (Pencipta) yang menjadikan alam sebagai makhluk-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya.


Firman Allah SWT.:
“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja seumur hidup dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.

Allah menyediakan ganjaran cukup besar bagi sesiapa yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan ini. Rasulullah SAW bersabda: “Daripada satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus semua kesalahan serta dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Niat Haji dan Umrah


1. Niat mengerjakan Haji:


نَوَيْتُ الْحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ لِلَّهِ تَعَاَلَى


Daku mengerjakan Haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.


2. Niat mengerjakan Umrah:

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَاَلَى


Daku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya, kerana Allah Ta’ala.


3. Niat mengerjakan Haji dan Umrah serentak (Haji Qiran):

نَوَيْتُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِـهِمَا لِلَّهِ تَعَاَلَى


Daku mengerjakan Haji dan Umrah serta berihram dengan kedua-duanya, kerana Allah Ta’ala.
FADILAT HAJI


Antara hadis Rasulullah SAW yang menghuraikan mengenai kelebihan ibadat haji, umrah dan tanah suci Makkah ialah:
Ibadat haji itu dapat menghilangkan dosa sebagaimana air dapat menghilangkan segala daki.
Setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat untuk orang yang mengerjakan haji di Baitullah; 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang bersolat dan 20 rahmat untuk yang memandang kepada Kaabah.

Haji yang mabrur ialah pekerjaan haji yang tidak bercampur dengan dosa sejak ihram hingga Tahalul.
Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan dia tidak merosakkannya dengan sebab bersetubuh dan tidak membuat sebarang maksiat, maka pulangnya kelak seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.
Iringilah hajimu dengan melakukan umrah, kerana kedua-duanya akan menghapuskan kemiskinan dan dosa, laksana relau yang membakar hangus segala kotoran besi, emas dan perak.


Tiadalah ganjaran lain bagi haji yang mabrur melainkan Syurga.
Hujjaj dan Ummar (Jemaah Haji dan Umrah) semuanya tetamu Allah, jika mereka berdoa kepada-Nya akan diperkenankan, jika mereka pohonkan keampunan akan diampunkan.
Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa antara keduanya. Haji yang mabrur tiadalah lain ganjarannya melainkan syurga.


Sesiapa yang sabar menanggung sakit sehari di Makkah, maka Allah tulis pahala amal soleh yang dikerjakan olehnya di luar Makkah sebanyak 60 tahun.
Sesiapa yang bersabar menanggung satu saat panas siang hari di Makkah, Allah akanmenjauhkan dia 100 tahun lamanya di neraka Jahanam.


Sesiapa yang meninggal dalam pelayaran ke Tanah Suci Makkah sama ada waktu pergi atau balik, segala dosanya tidak akan dipamerkan dan tidak akan dikira pada hari kiamat (diampunkan).


Siapa yang meninggal di Makkah seolah-olah dia telah meninggal di langit dunia.
Baitullah ini adalah tunjang Islam, siapa yang keluar kerana mengunjunginya untuk mengerjakan haji atau umrah, dia dijamin Allah, jika dia meninggal ia akan dimasukkan ke syurga-Nya, jika dia pulang, pulang dengan ganjaran dan harta.
Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk ibadat haji adalah seperti perbelanjaan untuk fisabilillah, satu dirham digandakan dengan 700 X.


Satu dari tanda-tanda haji yang diterima ialah; Apabila ia melakukan kebaikan danamalan melebihi dari sebelum pemergian ke Makkah dan tidak lagi terdorong ke arah perkara-perkara maksiat. SYARAT WAJIB SAH HAJI


Haji diwajibkan sekali sahaja seumur hidup, apabila memenuhi syarat:
Islam
Baligh dan berakal (Mukallaf).
Merdeka
Berkemampuan dan berkuasa.
Wanita mesti mendapat izin suami atau wali, dan ditemani oleh suami, mahram atau wanita yang dipercayai.
RUKUN HAJI


1. Niat ihram

2. Berwukuf di Arafah.

3. Tawaf Ifadah.

4. Saie di antara Shafa dan Marwah.

5. Bercukur atau bergunting rambut (Tahalul).

6. Tertib pada kebanyakan rukun.


Jika tertinggal salah satu rukun atau tidak mengikut syaratnya maka Haji / Umrahnya TIDAK SAH (BATAL) dan terpaksa mengqadakannya semula dengan segera kerana masih di dalam ihram (pantang larang).
BATAL HAJI 
Tidak melakukan semua rukun haji dengan sempurna mengikut syarat-syaratnya.
Tidak melakukan dan hadir sendiri di tempat ibadat dan dalam masa yang ditetapkan, walaupun boleh dengan bantuan orang lain.
Melakukan persetubuhan semasa ihram kecuali sesudah tahallul awal.
Hilang akal atau pengsan sepanjang menunaikan haji.
Membatalkan niat ibadat oleh sesuatu keadaan.
Murtad.
SYARAT WAJIB MENGERJAKAN HAJI 
Niat ihram di Miqat.
Menjaga larangan dalam ihram.
Bermalam di Mudzalifah.
Melontar Jamrah Al-Aqabah.
Bermalam di Mina.
Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq.


Sekiranya tertinggal salah satu daripadanya HAJI / UMRAHNYA SAH tetapi diwajibkan dam

HIKMAH HAJI
Menghapuskan dosa dan membersihkan jiwa.
Mendapat keampunan dan ganjaran daripada Allah.
Meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Memahami dan mengayati sejarah kecemerlangan Islam dengan mendalam.
Melahirkan rasa syukur atas nikmat harta dan kesihatan yang diberikan Allah.
Menimbulkan rasa keinsafan di dalam hati kerana ketika mengerjakan haji, kerana semua hamba Allah itu sama saja keadaannya dan tanggungan beban sama ada yang kaya, miskin, raja atau rakyat biasa.

    Ibadat Haji & Umrah Jenis Haji & Umrah

    Perbualan Dua Malaikat Ketika Menunaikan Haji





    بِسۡـــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيـــــمِ
    اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
    .


    Seorang ulamak yang juga ahli sufi terkenal iaitu Hasan Al-Basri, dalam suatu perjalanan pada suatu musim haji, telah berhenti rehat lalu tertidur. Semasa tertidur itu, beliau telahbermimpi tentang perbualan di antara dua Malaikat.


    Berkatalah Malaikat pertama,
    “Sungguh ramai sekali orang menunaikan ibadah haji pada tahun ini.”


    Kata Malaikat kedua, “Yalah, tahun inilah paling ramai sekali orang menunaikan ibadah haji iaitu 700,000 orang.”



    Kata Malaikat yang pertama, “Tahukah kamu berapa orangkah yang mendapat Haji Mabrur?”



    Kata Malaikat yang kedua, “Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.”



    Berkata lagi Malaikat yang pertama, “Tidak seorang pun dari jemaah tersebut yang mendapat Haji Mabrur. Tahukah kamu mengapakah tidak ada seorang pun dari jemaah tersebut layak mendapat Haji Mabrur?”


    “Tidak!” Jawab Malaikat yang kedua.


    Lalu Malaikat yang pertama memberitahu, “Mereka tidak layak mendapat Haji Mabrur kerana ada yang menunaikan ibadah haji sedangkan kewajipan tanggungannya dalam kekurangan diabaikannya; Ada di antara mereka menunaikan ibadah haji sedangkan jirannya yang berada dalam serba kekurangan tidak dihiraukannya; Ada pula antara mereka menunaikan ibadah haji untuk kali yang kedua dan ketiga untuk menunjuk-nunjuk sedangkan masih ramai lagi orang lain yang tersangat ingin untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dipedulikannya. Akan tetapi ada seorang hamba Allah yang bernama Zaid seorang tukang kasut yang tinggal di kota Damsyik yang mendapat pahala Haji Mabrur.”
    Tatkala itu Hasan Al-Basri terjaga dari tidurnya dan masih teringat-ingat akan mimpinya. Beliau merasakan mimpinya itu adalah amat benar belaka lalu mengambil keputusan pergi ke Kota Damsyik untuk mencari Tukang Kasut tersebut.


    Setelah berada di Kota Damsyik, maka Hasan Al-Basri telah berjaya bertemu seorang tukang kasut yang bernama Zaid. Beliau tidak tahu bagaimana hendak memulakan soalan dan akhirnya mengambil keputusan menceritakan perihal mimpinya itu.



    Lalu berkatalah si Tukang Kasut.


    “Sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, saya tersangatlah rindu hendak mengunjungi Kota Makkah. Maka sejak dari itulah saya mula menabung sebahagian dari duit upah sebagai seorang tukang kasut. Maka pada tahun ini cukup sudah duit tabungan tersebut untuk saya menunaikan fardhu haji. Tetapi pada tahun ini juga isteri saya sedang hamil dan akan melahirkan anak. Isteri saya telah mengidam hendak memakan apa yang dibauinya dan meminta saya mendapatakan untuknya.
    Maka saya mendapati bau tersebut datangnya hasil masakan dari rumah yang serba kedaifan milik seorang Ibu Tunggal yang menyara enam orang anak. Kemudian saya menceritakan hasrat isteri saya mengidam hendak memakan masakannya. Lalu berkatalah Ibu Tunggal tersebut, masakan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami.

    Saya tetap menyatakan hasrat untuk membelinya walau dengan berapa harga sekali pun. Lalu berkata lagi si Ibu Tunggal tersebut, makanan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. Kemudian diceritakannya masakan yang baunya harum semerbak itu adalah bangkai dari seekor keldai. Kami terpaksa memakannya agar kami tidak akan mati kebuluran. Lalu saya dengan berlinangan air mata, saya kembali ke rumah lalu menceritakannya kepada isteri saya.
    Setelah mendengarnya isteri saya juga menitiskan air mata dan kami mengambil keputusan memberi kesemua wang simpanan saya itu kepada Ibu Tunggal tersebut.



    Itulah apa yang dapat saya beritahu tuan.” Kata si Tukang Kasut kepada Hasan Al-Basri mengakhiri ceritanya.

    Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentias amelihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha. Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.” (Riwayat At-Tirmidzi)



    والله أعلم بالصواب
    Wallahu A’lam bishowab
    (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

    Amalan Mengimarahkan Bulan Zulhijjah


    بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
    السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




    Setiap Muslim wajib merebut kemuliaan sepanjang Zulhijah dengan mengambil iktibar dan inisiatif menjana akidah tauhid dan menjalin ikatan ukhuwah dalam usaha mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.

    Banyak keutamaan dan kelebihan orang yang memuliakan 10 hari permulaan Zulhijah dengan melakukan amal salih. Rasulullah SAW bersabda;

    ماالعمل فى ايام افضل منها فى هذه. قالوا: ولا الجهاد? قال: ولاالجهاد الا رجل خرج يخاطربنفسه وماله فلم يرجع بشيء.

    “Tidak ada hari di mana amal soleh pada masa itu lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini, iaitu: sepuluh hari dari bulan Zulhijjah.” Mereka bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah?”. Baginda menjawab, “Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan suatu apa pun.” (HR. Bukhari daripada Ibnu ‘Abbas).


    Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah


    Berikut ini beberapa jenis ibadah yang disyariatkan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah,

    l. Melaksanakan Ibadah Haji & Umrah


    Menunaikan sebaik-baik amalan iaitu ibadat haji dan umrah. Amal ini adalah yang paling utama, berdasarkan sebuah hadis;


    Rasulullah SAW bersabda:

    العمرة الى العمرة كفارة لمابينهما, والحج المبرور ليس له جزاء الا الجنة.

    “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara kedua-duanya dan haji yang baik (mabrur) tiada baginya balasan melainkan syurga.”


    (Muttafaq alaih dari Abu Hurairah)


    2. Berpuasa Pada Hari Arafah.


    Berpuasa 1-9 Zulhijjah dan yang paling utama adalah pada tarikh ke-9, iaitu puasa Hari Arafah bagi umat islam yang tidak sedang melaksanakan ibadah haji. Puasa ini menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

    عن ابي قتادة قال: سئل رسول الله عن صوم يوم عرفة? فقال: يكفر االسنة الماضية و الباقية


    Dari Abu Qatadah, ia berkata: Rasulullah SAWpernah ditanya perihal berpuasa pada hari ‘Arafah. Maka Baginda menjawab,
    “Dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR. Imam Muslim)

    3. Memperbanyak Zikir dan Takbir


    Firman Allah SWT dalam Al-Hajj: 28:

    و يذكر وا اسم الله فى أيام معلومت


    “… Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan …” .


    Para ahli tafsir menafsirkannya dengan 10 hari dari bulan Zulhijjah. Kerana itu, para ulama menganjurkan untuk memperbanyak zikir pada hari-hari tersebut.


    4. Memperbanyakkan Membaca Tasbih, Tahmid, Takbir Dan Tahlil


    Perbanyakkanlah bertasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdu Lillah), Takbir (Allah Akbar)dan Tahlil (La Ilaha Illa Allah) .


    Dari Ummu Hani ra dia berkata: “Suatu ketika Rasulullah SAW melalui dihadapanku. Lalu saya berkata,
    “Ya Rasulullah SAW saya sudah tua dan lemah. Beritahukanlah padaku suatu amalan agar dapat saya kerjakan sambil duduk.” Baginda bersabda: “BacalahSubhanallah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan memerdekakan 100 orang budak dari keturunan Ismail. Bacalah Alhamdulillah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan mensedekahkan 100 ekor kuda yang bercahaya dan terkawal yang disedekahkan di jalan Allah. Bacalah Allahu Akbar 100 kali, itu seimbang bangimu dengan menyembelih 100 ekor unta yang dikorban dan diterima di sisi Allah SWT. Dan bacalah Laa ilaaha illallah 100 kali.” Abu Khalfin berkata aku kira pahalanya akan memenuhi antara langit dan bumi, dan tidak ada yang melebihinya darimu kecuali orang yang mengamalkannya melebihimu. (HR. Ahmad)

    5. Bertaubat Dan Meninggalkan Segala Maksiat dan Dosa


    Tidak ada satu manusia biasa pun yang terlepas dari dosa dan maksiat, hal ini merupakan sunnatullah. Di antara yang dapat menghapuskan dosa dan maksiat adalah dengan bertaubat dan istighfar. Rasulullah SAW bersabda:

    لو لم تذنبوا لذهب الله بكم و لجآء بقوم يذنبون ثم يستغفرون فيغفرلهم


    “Seandainya kamu tidak pernah berbuat dosa, pastilah Allah membinasakan kamu dan akan didatangkannya suatu kaum yang melakukan dosa, lalu mereka beristighfar dan Allah pun mengampuni mereka.” (HR. dari Abu Ayyub Al-Ansari)

    6. Mengumandangkan Takbir


    Bertakbir pada hari-hari yang mulia di waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan solat fardu yang dikerjakan secara berjemaah.


    Bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji, takbir bermula dari Subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijah). Semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijah.
    Disyariatkan pada hari-hari tersebut untuk ‘Takbir Muthlaq’, iaitu pada bila-bila masa sampai pelaksanaan Solat Sunat Aidil Adha.


    Dan disyariatkan juga ‘Takbir Muqayyad‘, iaitu yang dilakukan setiap selesai solat fardhu berjemaah. Bermula daripada Subuh Hari ‘Arafah hingga Asar akhir hari-hariTasyrik.


    Adapun lafaznya:

    الله اكبر الله اكبر (الله اكبر), لاإله الا الله, الله اكبر الله اكبر و لله الحمد


    Imam Ishaq meriwayatkan bahawa fuqaha (ahli fikah) di kalangan tabien (generasi selepas sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari itu “Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu”.

    7. Mendekati Allah SWT


    Sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah dan menjauhi larangan-Nya serta mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

    8. Memperbanyakkan Berbuat Amalan Soleh


    Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya. Hal ini kerana semuanya akan digandakan pada hari itu.

    9. Melaksanakan Solat Sunat Aidil Adha


    Menunaikan solat hari raya secara berjemaah dan mendengar khutbahnya.
    Nabi SAW selalu melakukan solat Aidil Adha di setiap kedua-dua hari raya, secara berjemaah dan tidak pernah meninggalkannya sekalipun, bermula dari disyariatkannya sampai beliau wafat.
    Baginda memerintahkan kepada kaum kaum muslimin dan muslimat untuk turut melaksanakannya, bahkan wanita yang sedang haid pun disarankan untuk menghadiri tetapi tidak melakukannya.

    10. Menyembelih Haiwan Korban


    Mengerjakan amalan korban pada Hari Raya Haji dan Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah). Ia adalah sunnah (amalan) Nabi Ibrahim AS selepas Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

    Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Tiada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT. daripada Bani Adam a.s ketika Hari Raya Aidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.” (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.)

    Begitu besar keutamaan 10 hari pertama bulan Zulhijjah, semua amal soleh yang dikerjakan pada hari itu lebih dicintai Allah daripada hari-hari yang lain. Jangan sampai disia-siakan peluang ini… Maka marilah kita ikhlaskan niat dan perbanyakkanlah amal soleh dengan mengikuti ibadah-ibadah yang disyariatkan tersebut.

    Solat Sunat Aidil Adha


    بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
    السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




    Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha dua rakaat adalah sunat muaakkad, yang dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijah. Ia merupakan penghormatan dan kesyukuran kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji di Tanah Suci Makkah. Solat Sunat Aidil Adha (Hari Raya Korban) digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan haiwan koban.

    A. Cara Melaksanakan Solat Aidil Adha

    1. Niat:
    اُصَلِّىْ سُنَّةَ عَيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ (إِمَامًا / مَأْمُوْمًا) لِلَّهِ تَعَالَى


    Daku bersolat sunat Aidil Adha, dua raka’at (imam / makmum) kerana Allah Ta’ala.
    .


    .
    2. Pada rakaat pertama:


    a. Selepas mengucapkan lafaz Takbiratul-ihram dan membaca doa Iftitah, bertakbirlah (اَلله ُ اَكْبَرُ) sebanyak 7 X dan diselangi bacaan Tasbih:

    سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ وَالله ُ اَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ


    Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.



    b. Setelah bertakbir dan bacaan tasbih ke-tujuh, bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Qafatau al-A’laa atau Al-Khafiruun.



    c. Lakukan rukun seterusnya seperti solat biasa.



    3. Rakaat ke-dua:


    a. Bangun dari sujud, bertakbir (اَلله ُ اَكْبَرُ) sebanyak 5 X, diselangi lagi tasbih seperti rakaat pertama.
    سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ وَالله ُ اَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ


    Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.




    b. Membaca Al-Fatihah dan Al-Ghaasyiyah atau Al-Ikhlas.


    c. Teruskan sebagaimana solat yang lain sehingga selesai salam ke-dua.

    KHUTBAH AIDILADHA


    Khatib membacakan dua Khutbah Hari Raya Korban selepas solat Aidiladha yang mengandungi pengertian sambutan Aidiladha, pengajaran penyembelihan korban dan ibadat Haji.


    Khutbah pertama didahului dengan 9 kali takbir ( اَلله ُ اَكْبَرُ ) manakala pada permulaan khutbah ke-dua 7 kali takbir dan pada kedua-dua takbir itu diikuti dengan bacaan:

    لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَالله ُ أَكْبَرُ، اَلله ُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ


    Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala kepujian.

    TAKBIR


    Suasana hari Tasyrik bersamaan Hari Raya Korban ini hendaklah dihiasi dengan takbir, tasbih, tahlil, tahmid, beristighfar dan perbanyakkan membaca al-Quran serta memperhatikan maknanya, terutama selepas setiap solat fardu.


    Takbir adalah slogan seluruh umat Islam. Umat Islam boleh bersatu jika mereka benar-benar mengamalkan apa yang terkandung dalam takbir ini. Mereka disatukan oleh kalimah tauhid. Dengan takbir (Allahuakbar), dapat membina keagungan dan kehidupan. Slogan‘Allahuakbar’. turut dapat menakutkan musuh dan kaum Muslimin telah mencapai kemenangan dalam peperangan Badar.



    Ketika mula menyembelih binatang atau berkorban disunat mengucapkan juga ‘Allahuakbar’.


    Pada Hari Raya Haji terutamanya disunatkan bertakbir setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada 13 Zulhijjah.


    .
    Takbir Raya

    اَللهُ أَكْبَرُ اَللهُ أَكْبَرُ اَللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ - × 5/3
    اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ 


    Allah Maha Besar sebenar-benar agung, segala pujian bagi Allah. Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan yang disembah melain-kan Allah. Dan kami tidak menyembah melainkan kepada-Nya dengan ikhlas hati. Baginya agama walaupun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. Ia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan Dia sendiri menewaskan pakatan musuh.


    Banyakkan membaca doa Nabi Yunus:

    لآ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِيْنَ


    Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.




    Adab Solat Sunat Hari Raya

    1. Pada Aidil Adha, disunatkan tidak makan terlebih dahulu sampai selesai Solat Aidil Adha.


    2. Pada Hari Raya Aidil Adha, boleh dikumandangkan takbir sejak Subuh hari Arafah (9 Dzul Hijjah ) hingga akhir hari Tasyriq ( 13 Dzulhijjah ).


    3. Makmum yang ‘masbuq’ harus menyempurnakan sendiri solatnya sesuai sifat Solat Hari Raya itu. Iaitu bagi mereka yang terlambat tiba di tempat solat dan mendapati jemaah sedang solat, ia jangan pulang pula, tetapi bergabunglah dan ikutilah, kemudian tambahilah sebanyak rakaat yang tertinggal.


    4. Apabila mereka mendapati jemaah telah selesai solat, maka kerjakanlah Solat Hari Raya Aidil Adha sebanyak dua rakaat; jangan ragu, jangan malu dan kerjakanlah hingga selesai. Bila selesai Solat Hari Raya Aidil Adha, duduklah dan dengarlah khutbah dengan khusyuk.


    5. Disunatkan mendengar khutbah dengan penuh minat dan jangan meninggalkan lapangan masjid sebelum khatib turun dari mimbar, kecuali kerana hal-hal yang sangat memaksa.


    6. Bagi kaum wanita yang dalam keadaan haid, mereka dianjurkan ikut ke lapangan, ambil tempat di bagian pinggir, lalu mendengar khutbah Aidil Adha, demi syiarnya Islam.


    7. Bila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, kewajipan solat Jumaat gugur bagi yang telah Solat Hari Raya sehingga cukup mendirikan Solat Zuhur sahaja.


    8. Adapun imam dan orang yang tidak Solat Hari Raya diharuskan solat Jumaat.


    HIKMAH AIDILADHA 


    Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
    Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.