Friday, October 19, 2012

Perbualan Dua Malaikat Ketika Menunaikan Haji





بِسۡـــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيـــــمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.


Seorang ulamak yang juga ahli sufi terkenal iaitu Hasan Al-Basri, dalam suatu perjalanan pada suatu musim haji, telah berhenti rehat lalu tertidur. Semasa tertidur itu, beliau telahbermimpi tentang perbualan di antara dua Malaikat.


Berkatalah Malaikat pertama,
“Sungguh ramai sekali orang menunaikan ibadah haji pada tahun ini.”


Kata Malaikat kedua, “Yalah, tahun inilah paling ramai sekali orang menunaikan ibadah haji iaitu 700,000 orang.”



Kata Malaikat yang pertama, “Tahukah kamu berapa orangkah yang mendapat Haji Mabrur?”



Kata Malaikat yang kedua, “Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.”



Berkata lagi Malaikat yang pertama, “Tidak seorang pun dari jemaah tersebut yang mendapat Haji Mabrur. Tahukah kamu mengapakah tidak ada seorang pun dari jemaah tersebut layak mendapat Haji Mabrur?”


“Tidak!” Jawab Malaikat yang kedua.


Lalu Malaikat yang pertama memberitahu, “Mereka tidak layak mendapat Haji Mabrur kerana ada yang menunaikan ibadah haji sedangkan kewajipan tanggungannya dalam kekurangan diabaikannya; Ada di antara mereka menunaikan ibadah haji sedangkan jirannya yang berada dalam serba kekurangan tidak dihiraukannya; Ada pula antara mereka menunaikan ibadah haji untuk kali yang kedua dan ketiga untuk menunjuk-nunjuk sedangkan masih ramai lagi orang lain yang tersangat ingin untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dipedulikannya. Akan tetapi ada seorang hamba Allah yang bernama Zaid seorang tukang kasut yang tinggal di kota Damsyik yang mendapat pahala Haji Mabrur.”
Tatkala itu Hasan Al-Basri terjaga dari tidurnya dan masih teringat-ingat akan mimpinya. Beliau merasakan mimpinya itu adalah amat benar belaka lalu mengambil keputusan pergi ke Kota Damsyik untuk mencari Tukang Kasut tersebut.


Setelah berada di Kota Damsyik, maka Hasan Al-Basri telah berjaya bertemu seorang tukang kasut yang bernama Zaid. Beliau tidak tahu bagaimana hendak memulakan soalan dan akhirnya mengambil keputusan menceritakan perihal mimpinya itu.



Lalu berkatalah si Tukang Kasut.


“Sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, saya tersangatlah rindu hendak mengunjungi Kota Makkah. Maka sejak dari itulah saya mula menabung sebahagian dari duit upah sebagai seorang tukang kasut. Maka pada tahun ini cukup sudah duit tabungan tersebut untuk saya menunaikan fardhu haji. Tetapi pada tahun ini juga isteri saya sedang hamil dan akan melahirkan anak. Isteri saya telah mengidam hendak memakan apa yang dibauinya dan meminta saya mendapatakan untuknya.
Maka saya mendapati bau tersebut datangnya hasil masakan dari rumah yang serba kedaifan milik seorang Ibu Tunggal yang menyara enam orang anak. Kemudian saya menceritakan hasrat isteri saya mengidam hendak memakan masakannya. Lalu berkatalah Ibu Tunggal tersebut, masakan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami.

Saya tetap menyatakan hasrat untuk membelinya walau dengan berapa harga sekali pun. Lalu berkata lagi si Ibu Tunggal tersebut, makanan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. Kemudian diceritakannya masakan yang baunya harum semerbak itu adalah bangkai dari seekor keldai. Kami terpaksa memakannya agar kami tidak akan mati kebuluran. Lalu saya dengan berlinangan air mata, saya kembali ke rumah lalu menceritakannya kepada isteri saya.
Setelah mendengarnya isteri saya juga menitiskan air mata dan kami mengambil keputusan memberi kesemua wang simpanan saya itu kepada Ibu Tunggal tersebut.



Itulah apa yang dapat saya beritahu tuan.” Kata si Tukang Kasut kepada Hasan Al-Basri mengakhiri ceritanya.

Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentias amelihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha. Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.” (Riwayat At-Tirmidzi)



والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

No comments:

Post a Comment